Al-Habib Husein bin Muhammad Al Qadri
Penyebar Islam Kalimantan Barat Oleh Wan Mohd. Shaghir Abdullah MENGENAI
Habib Husein al-Qadri, tidak terlalu sukar membuat penyelidikan karena
memang terdapat beberapa manuskrip yang khusus membicarakan biografinya.
Walau bagaimana pun semua manuskrip yang telah dijumpai tidak jelas
nama pengarangnya, yang disebut hanya nama penyalin. Semua manuskrip
dalam bentuk tulisan Melayu/Jawi. Nama lengkapnya, As-Saiyid/as-Syarif
Husein bin al-Habib Ahmad/Muhammad bin al-Habib Husein bin al-Habib
Muhammad al-Qadri, Jamalul Lail, Ba `Alawi, sampai nasabnya kepada Nabi
Muhammad s.a.w. Sampai ke atas adalah melalui perkawinan Saidatina
Fatimah dengan Saidina Ali k.w. Nama gelarannya ialah Tuan Besar
Mempawah. Lahir di Tarim, Yaman pada tahun 1120 H/1708 M. Wafat di
Sebukit Rama Mempawah, 1184 H/ 1771M. ketika berusia 64 tahun. Dalam
usia yang masih muda beliau meninggalkan negeri kelahirannya untuk
menuntut ilmu pengetahuan bersama beberapa orang sahabatnya. PENDIDIKAN, PENGEMBARAAN DAN SAHABAT Mengembara
ke negeri Kulaindi dan tinggal di negeri itu selama empat tahun. Di
Kulaindi beliau mempelajari kitab kepada seorang ulama besar bernama
Sayid Muhammad bin Shahib. Dalam waktu yang sama beliau juga belajar di
Kalikut. Jadi sebentar beliau tinggal di Kulaindi dan sebentar tinggal
di Kalikut. Habib Husein al-Qadri termasuk dalam empat sahabat. Mereka
ialah, Saiyid Abu Bakar al-`Aidrus, menetap di Aceh dan wafat di sana.
Digelar sebagai Tuan Besar Aceh. Kedua, Saiyid Umar as-Saqaf, tinggal di
Siak dan mengajar Islam di Siak, juga wafat di Siak. Digelar sebagai
Tuan Besar Siak. Ketiga, Saiyid Muhammad bin Ahmad al-Qudsi yang tinggal
di Terengganu dan mengajar Islam di Terengganu. Digelar sebagai Datuk
Marang. Keempat, Saiyid Husein bin Ahmad al-Qadri (yang diriwayatkan
ini) Maka Habib Husein pun berangkatlah dari
negeri Kulaindi menuju Aceh. Di Aceh beliau tinggal selama satu tahun,
menyebar agama Islam dan mengajar kitab. Selanjutnya perjalanan
diteruskan ke Siak, Betawi dan Semarang. Saiyid Husein tinggal di Betawi
selama tujuh bulan dan di Semarang selama dua tahun. Sewaktu di
Semarang beliau mendapat sahabat baru, bernama Syeikh Salim bin Hambal.
Pada suatu malam tatkala ia hendak makan, dinantinya Syeikh Salim Hambal
itu tiada juga datang. Tiba-tiba ia bertemu Syeikh Salim Hambal di
bawah sebuah perahu dalam lumpur. Habib Husein pun berteriak sampai
empat kali memanggil Syeikh Salim Hambal. Syeikh Salim Hambal datang
menemui Habib Husein berlumuran lumpur. Setelah itu bertanyalah Habib
Husein, “Apakah yang kamu perbuat di situ?” Jawabnya: “Hamba sedang
memperbaiki perahu.” Habib Husein bertanya pula, “Mengapa memperbaikinya
malam hari begini?” Maka sahutnya, “Karena siang hari, air penuh dan
pada malam hari air kurang.” Kata Habib Husein lagi, “Jadi beginilah
rupanya orang mencari dunia.” Jawabnya, “Ya, beginilah halnya.” Kata
Habib Husein pula, “Jika demikian sukarnya orang mencari atau menuntut
dunia, aku haramkan pada malam ini juga akan menuntut dunia kerana aku
meninggalkan tanah Arab sebab aku hendak mencari yang lebih baik
daripada nikmat akhirat.” Habib Husein kembali
ke rumah dengan menangis dan tidak mahu makan. Keesokan harinya uang
yang pernah diberi oleh Syeikh Salim Hambal kepadanya semuanya
dikembalikannya. Syeikh Salim Hambal berasa heran, lalu diberinya
nasihat supaya Habib Husein suka menerima pemberian dan pertolongan
modal daripadanya. Namun Habib Husein tiada juga mau menerimanya. Oleh
sebab Habib Husein masih tetap dengan pendiriannya, yang tidak
menghendaki harta dunia, Syeikh Salim Hambal terpaksa mengalah. Syeikh
Salim Hambal bersedia mengikuti pelayaran Habib Husein ke negeri Matan. Setelah
di Matan, Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal menemui seorang
berketurunan saiyid juga, namanya Saiyid Hasyim al-Yahya, digelar orang
sebagai Tuan Janggut Merah. Perwatakan Saiyid Hasyim/ Tuan Janggut Merah
itu diriwayatkan adalah seorang yang hebat, gagah dan berani. Apabila
Saiyid Hasyim berjalan senantiasa bertongkat dan jarang sekali
tongkatnya itu ditinggalkannya. Tongkatnya itu terbuat daripada besi dan
berat. Sebab Saiyid Hasyim itu memakai tongkat demikian itu kerana ia
tidak boleh sekali-kali melihat gambaran berbentuk manusia atau
binatang, sama ada di perahu atau di rumah atau pada segala perkakas,
sekiranya beliau terpandang atau terlihat apa saja dalam bentuk gambar
maka dipalu dan ditumbuknya dengan tongkat besi itu. KEDUDUKAN DI MATAN Setelah
beberapa lama Habib Husein dan Syeikh Salim Hambal berada di Matan,
pada suatu hari Sultan Matan menjemput kedua-duanya dalam satu jamuan
makan karena akan mengambil berkat kealiman Habib Husein itu. Selain
kedua-duanya juga dijemput para pangeran, sekalian Menteri negeri Matan,
termasuk juga Saiyid Hasyim al-Yahya. Setelah jemputan hadir semuanya,
maka dikeluarkanlah tempat sirih adat istiadat kerajaan lalu dibawa ke
hadapan Saiyid Hasyim. Saiyid Hasyim al-Yahya melihat tempat sirih yang
di dalamnya terdapat satu kacip besi buatan Bali. Pada kacip itu
terdapat ukiran kepala ular. Saiyid Hasyim al-Yahya sangat marah.
Diambilnya kacip itu lalu dipatah-patah dan ditumbuk-tumbuknya dengan
tongkatnya. Kejadian itu berlaku di hadapan Sultan Matan dan para
pembesarnya. Sultan Matan pun muram mukanya, baginda bersama
menteri-menterinya hanya tunduk dan terdiam saja. Peristiwa itu mendapat
perhatian Habib Husein al-Qadri. Kacip yang berkecai itu diambilnya,
dipicit-picit dan diusap-usap dengan air liurnya. Dengan kuasa Allah jua
kacip itu pulih seperti sediakala. Setelah dilihat oleh Sultan Matan,
sekalian pembesar kerajaan Matan dan Saiyid Hasyim al-Yahya sendiri akan
peristiwa itu, sekaliannya gementar, segan, berasa takut kepada Habib
Husein al-Qadri yang dikatakan mempunyai karamah itu. Beberapa
hari setelah peristiwa di majlis jamuan makan itu, Sultan Matan serta
sekalian pembesarnya mengadakan mesyuarat. Keputusan mesyuarat bahwa
Habib Husein dijadikan guru dalam negeri Matan. Sekalian hukum yang
tertakluk kepada syariat Nabi Muhammad s.a.w. terpulanglah kepada
keputusan Habib Husein al-Qadri. Selain itu Sultan Matan mencarikan
isteri untuk Habib Husein. Beliau dikawinkan dengan Nyai Tua. Daripada
perkawinan itulah mereka memperoleh anak bernama Syarif Abdur Rahman
al-Qadri yang kemudian dikenali sebagai Sultan Kerajaan Pontianak yang
pertama. Semenjak itu Habib Husein al-Qadri dikasihi, dihormati dan
dipelihara oleh Sultan Matan. Setelah sampai kira-kira dalam dua hingga
tiga tahun diam di negeri Matan, datanglah suruhan Raja Mempawah dengan
membawa sepucuk surat dan dua buah perahu akan menjemput Habib Husein
untuk dibawa pindah ke Mempawah. Tetapi pada ketika itu Habib Husein
masih suka tinggal di negeri Matan. Beliau belum bersedia pindah ke
Mempawah. Kembalilah suruhan itu ke Mempawah. Yang menjadi Raja Mempawah
ketika itu ialah Upu Daeng Menambon, digelar orang dengan Pangeran Tua.
Pusat pemerintahannya berkedudukan di Sebukit Rama. HABIB HUSEIN PINDAH KE MEMPAWAH Negeri
Matan dikunjungi pelaut-pelaut yang datang dari jauh dan dekat. Di
antara ahli-ahli pelayaran, pelaut-pelaut yang ulung, yang datang dari
negeri Bugis-Makasar ramai pula yang datang dari negeri-negeri lainnya.
Salah seorang yang berasal dari Siantan, Nakhoda Muda Ahmad kerap
berulang alik ke Matan. Terjadi fitnah bahawa dia dituduh melakukan
perbuatan maksiat, yang kurang patut, dengan seorang perempuan. Sultan
Matan sangat murka, baginda hendak membunuh Nakhoda Muda Ahmad itu.
Persoalan itu diserahkan kepada Habib Husein untuk memutuskan
hukumannya. Diputuskan oleh Habib Husein dengan hukum syariah bahawa
Nakhoda Muda Ahmad lepas daripada hukuman bunuh. Hukuman yang dikenakan
kepadanya hanyalah disuruh oleh Habib Husein bertaubat meminta ampun
kepada Allah serta membawa sedikit uang denda supaya diserahkan kepada
Sultan Matan. Sultan Matan menerima keputusan Habib Husein. Nakhoda Muda
Ahmad pun berangkat serta disuruh hantar oleh Sultan Matan dengan dua
buah sampan yang berisi segala perbekalan makanan. Setelah sampai di
Kuala, Nakhoda Muda Ahmad diamuk oleh orang yang menghantar kerana
diperintah oleh Sultan Matan. Nakhoda Muda Ahmad dibunuh secara zalim di
Muara Kayang. Peristiwa itu akhirnya diketahui juga oleh Habib Husein
al-Qadri. Kerana peristiwa itulah Habib Husein al-Qadri mengirim surat
kepada Upu Daeng Menambon di Mempawah yang menyatakan bahwa beliau
bersedia pindah ke Mempawah. Tarikh Habib
Husein al-Qadri pindah dari Matan ke Mempawah, tinggal di Kampung Galah
Hirang ialah pada 8 Muharam 1160 H/20 Januari 1747 M. Setelah Habib
Husein al-Qadri tinggal di tempat itu ramailah orang datang dari
pelbagai penjuru, termasuk dari Sintang dan Sanggau, yang menggunakan
perahu dinamakan `bandung’ menurut istilah khas bahasa Kalimantan Barat.
Selain kepentingan perniagaan mereka menyempatkan diri mengambil berkat
daripada Habib Husein al-Qadri, seorang ulama besar, Wali Allah yang
banyak karamah. Beliau disegani kerana selain seorang ulama besar beliau
adalah keturunan Nabi Muhammad s.a.w. Dalam tempoh yang singkat negeri
tempat Habib Husein itu menjadi satu negeri yang berkembang pesat
sehingga lebih ramai dari pusat kerajaan Mempawah, tempat tinggal Upu
Daeng Menambon/Pangeran Tua di Sebukit Rama. Manakala Upu Daeng Menambon
mangkat puteranya bernama Gusti Jamiril menjadi anak angkat Habib
Husein al-Qadri. Dibawanya tinggal bersama di Galah Hirang/Mempawah lalu
ditabalkannya sebagai pengganti orang tuanya dalam tahun 1166 H/1752 M.
Setelah ditabalkan digelar dengan Penembahan Adiwijaya Kesuma. Akan
kemasyhuran nama Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah itu tersebar
luas hingga hampir semua tempat di Asia Tenggara. Pada satu ketika
Sultan Palembang mengutus Saiyid Alwi bin Muhammad bin Syihab dengan dua
buah perahu untuk menjemput Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah
datang ke negeri Palembang kerana Sultan Palembang itu ingin sekali
hendak bertemu dengan beliau. Habib Husein al-Qadri/Tuan Besar Mempawah
tidak bersedia pergi ke Palembang dengan alasan beliau sudah tua. WAFAT Dalam
semua versi manuskrip Hikayat Habib Husein al-Qadri dan sejarah lainnya
ada dicatatkan, beliau wafat pada pukul 2.00 petang, 2 Zulhijjah 1184
H/19 May 1771 dalam usia 64 tahun. Wasiat lisannya ketika akan wafat
bahwa yang layak menjadi Mufti Mempawah ialah ulama yang berasal dari
Patani tinggal di Kampung Tanjung Mempawah, bernama Syeikh Ali bin Faqih
al-Fathani. |
Komentar
Posting Komentar